Tuesday

MELAKA TUNTUT MISC BAYAR SEWA


Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud (dua dari kanan) menyerahkan dividen mengendalikan Hotel Equatorial kepada Omar Kaseh sambil diperhatikan Mohd. Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam. – utusan/Abdul Razak Latif

MELAKA 8 Okt. – Kerajaan negeri akan menuntut bayaran daripada Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) kerana meletakkan 10 buah kapal kargo milik syarikat itu berlabuh di perairan Selat Melaka berhampiran negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerajaan negeri mempunyai hak untuk menuntut bayaran daripada MISC kerana menggunakan perairan Selat Melaka milik negeri itu meletakkan 10 buah kapal kargo sejak beberapa bulan lalu.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Exco semalam yang berpendapat terdapat peruntukan undang-undang bagi membolehkan kerajaan negeri menuntut bayaran dari MISC.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Tanah Negeri Melaka untuk membuat taksiran bayaran yang perlu dikemukakan kepada MISC dengan mengambil kira nasib nelayan dari Kuala Sungai Baru yang terjejas ekoran kehadiran 10 buah kapal kargo itu.

‘‘MISC perlu membayar sewa kerana meletakkan kapal kargo milik mereka di perairan Melaka dan ia termaktub dalam undang-undang bahawa kerajaan negeri mempunyai hak membuat tuntutan di air ataupun di udara.

‘‘Tindakan 10 buah kapal kargo milik MISC berlabuh di perairan Selat Melaka berhampiran negeri ini secara tidak langsung telah menjejaskan sumber pendapatan nelayan dari Kuala Sungai Baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima dividen berjumlah RM510,000 daripada Syarikat Malacca Straits Inn Sdn. Bhd. yang mengendalikan Hotel Equatorial di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Omar Kaseh dan Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Malacca Straits Inn Sdn. Bhd., Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud.

Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Melaka Holdings Sdn. Bhd. melabur sebanyak RM10 juta dengan pegangan saham sebanyak 30 peratus ketika membangunkan hotel tersebut pada April 1984.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, sejak kapal terbabit berlabuh di perairan Selat Melaka ia secara tidak langsung telah menjejaskan sumber pendapatan nelayan dari Kuala Sungai Baru.

Beliau berkata, para nelayan yang bergantung sumber pendapatan untuk menyara hidup mereka terjejas kerana tidak dapat menangkap ikan kerana dihalang oleh kehadiran kapal tersebut.

‘‘Hasil daripada bayaran yang akan diperoleh itu akan diagih-agihkan kepada para nelayan yang terjejas pendapatan mereka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jumlah tuntutan itu masih diproses oleh Pejabat Tanah negeri sebelum ia dikemukakan kepada MISC secepat mungkin.

Sejak beberapa bulan lalu sebahagian besar nelayan dari Kuala Sungai Baru dekat sini gelisah apabila mereka tidak dapat menangkap ikan di perairan Selat Melaka kerana dihalang oleh kehadiran 10 buah kapal kargo milik MISC yang berlabuh di situ.

0 comment:

Post a Comment

Site Search