Tuesday

KAPAL LNG PETRONAS MALAYSIA


644dd1a095ea99af5f9f40a1bfae458a.jpg

CERIA... Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bergambar bersama pegawai dan krew kapal Seri Ayu selepas majlis pemberian nama kepada kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) itu di Pasir Gudang, Johor, semalam. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican (kiri). – Gambar Bernama.



MISC terunggul di dunia


JOHOR BAHRU 25 Okt. – Kini MISC Bhd. merupakan pemilik dan pengendali tunggal terbesar kapal-kapal tangki gas asli cecair (LNG) di dunia berikutan pelancaran kapal pengangkutnya yang ke-25 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

“MISC telah mencapai banyak kemajuan sejak penghantaran pertama LNG dari Bintulu ke Jepun pada Februari 1983.

“Bermula dengan angkatan lima buah kapal di bawah siri ‘Tenaga’, ia kini telah berkembang dengan 25 buah kapal,” kata Abdullah pada upacara menamakan kapal tangki itu di limbungan kapal Malaysian Marine and Heavy Engineering Bhd (MMHE) di Pasir Gudang di sini hari ini.

Kapal tangki yang dinamakan “Seri Ayu” itu merupakan yang terakhir daripada lima buah kapal tangki LNG “Kelas Siri A” yang dipesan daripada Samsung Heavy Industries Korea Selatan.

Perdana Menteri berkata, kapal pengangkut baru itu membolehkan MISC menjadi pemilik dan pengendali angkatan LNG tunggal terbesar di dunia, dan menyumbang kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan kapasiti kapal tangki LNG dunia.

Abdullah bangga bahawa MMHE, anak syarikat MISC melalui kerjasama strategiknya dengan Samsung Heavy, dapat membangunkan keupayaan perkhidmatan penuh dermaga kering dan baik pulih kapal tangki.

“Pencapaian MMHE ini memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu daripada segelintir limbungan kapal di rantau ini yang berupaya melaksanakan kejuruteraan kapal tangki teknologi tinggi, perkhidmatan dermaga kering dan kerja-kerja baik pulih,” katanya.

“Baru-baru ini MMHE telah menyiapkan kemudahan lepas beban, penyimpanan, pengeluaran dan pengapungan kapal di laut dalam yang pertama di Malaysia. Ia bergerak lancar ke arah menempatkan Malaysia sebagai hab serantau bagi kejuruteraan berat serta kerja-kerja baik pulih dan pengubahan marin yang tinggi nilai tambahnya,” kata beliau.

Abdullah berkata, “Seri Ayu” akan dikendalikan oleh anak kapal yang kesemuanya rakyat Malaysia, sebilangan besarnya lepasan Akademi Laut Malaysia, akademi maritim yang dikendalikan MISC.

“Dalam tahun-tahun 1970-an sebahagian besar pelaut yang bekerja di kapal-kapal Malaysia terdiri daripada warga asing. Hari ini, kita boleh berbangga dengan begitu ramai pelaut Malaysia yang bekerja dalam kapal kita sendiri,” kata beliau.

Turut hadir pada upacara itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamed Khaled Nordin; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd., Tan Sri Mohd Hassan Marican; Presiden/CEO MISC, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Pengarah Urusan/CEO MMHE, Wan Yusoff Wan Hamat.


0 comment:

Post a Comment

Site Search