Tuesday

KENANGANKU DI ALAM

Tidak ramai yang mengetahui kehidupan sebenarnya seorang pelaut. Ramai yang beranggapan bahawa pelaut itu seorang yang ganas, pemabuk, kaki perempuan dan lain-lain lagi. Itu semua mungkin benar pada suatu masa dulu tetapi tidak pada masa sekarang. Semuanya itu telah berubah. Ramai juga yang beranggapan bahawa kerjaya ini boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kaya. Tidak ramai yang tahu hakikat yang sebenarnya apa yang berlaku dalam kehidupan seorang pelaut. Segala catatan disini adalah berdasarkan apa yang aku sendiri alami dan pengalaman aku sebagai seorang pelaut.

Aku memulakan kerjaya ini sebaik saja memasuki Akademi Laut Malaysia (ALAM) pada tahun 2000. Disanalah bermulanya kehidupan ku sebagai seorang kadet. Kami diajar pelbagai ilmu dan pengetahuan bukan saja mengenai laut tetapi juga perkara yang lain. Akhirnya pada tahun 2002 aku berjaya menamatkan latihan ku untuk menjadi seorang Pegawai Kejuruteraan Marin sehinggalah sekarang.

Kehidupan yang aku lalui selama ini memang penuh dengan rintangan dan juga dugaan. Ia juga membuka mata dan minda ku seluas-luasnya. Mana tidaknya, tugas ini membawa aku ke seluruh dunia tanpa mengeluarkan sesen pun. Cakap mana saja negara di dunia ini yang kapal masuk. Arab, Pakistan, India, Iran, Sri Lanka, China, Australia dan banyak lagi negara baik di barat mahupun di timur, utara mahupun di selatan. Pelbagai karenah dan gaya kehidupan yang dapat dilihat.

Tetapi ini tidak bermaksud aku boleh keluar sewenang-wenangnya kerana banyak kerja yang perlu disiapkan. Masa biasa kami berkerja adalam dari pukul 8 pagi hingga jam 5 petang, dari hari Isnin hingga hari Ahad. Tiada istilah cuti dalam kamus kehidupan kami. Kadang kala tu terpaksa berkerja selama 3 hari dan masa 3 hari itulah kami tidak dapat tidur. Rehat amat berharga sekali bagi kami kerana susah untuk mendapat rehat yang secukupnya. Kami hanya boleh berehat apabila kembali dari bertugas, itupun sekali dalam setahun.

Tidak cukup dengan itu, kami terpaksa juga berhadapan dengan musuh-musuh yang tidak diduga bila akan menyerang tanpa memberi salam atau peringatan. Yang pertama adalah alam itu sendiri. Laut yang terdiri daripada air yang memenuhi 70% dari bumi ini tidak lekang dengan kekalutan alamnya. Keadaan ombak dan laut yang bergelora dengan senangnya memainkan kapal bagaikan budak kecil memainkan kapal mainan di kolam mandi. Ribut taufan dan tsunami adalah antara contoh yang kerap dihadapi. Nasib baiklah kapal kami besar, kalau tidak sudah lama berkubur di dasar lautan yang gelap. Masih lagi aku ingat semasa tsunami yang melanda Banda Acheh, kami sedang berada di Lautan India, menuju ke Indonesia. Keadaan laut yang tenang tiba-tiba saja menjadi bergelora. Kami yang sedang makan petang masa itu bergegas menuju ke station masing-masing, bersedia untuk menghadapi apa yang bakal berlaku.

Musuh kedua yang juga turut tidak mahu ketinggalan dalam menjalankan tugas mereka adalah lanun dan penganas. Telah banyak kapal dijadikan mangsa mereka. Kalau dulunya mereka bersenjatakan parang saja, namun sekarang sudah moden kerana senjata yang sering digunakan adalah AK47 dan juga RPG (roket pemusnah kecil). Sudah banyak kapal diletupkan dan diserang. Di lautan yang luas, bantuan yang diminta tidak akan sampai dengan cepat. Semuanya terpulang kepada anak-anak kapal untuk bertindak dengan bijak untuk menghadapi keadaan ini.

Pernah juga aku ditanya apa kerja yang aku boleh lakukan di darat sesudah berhanti kerja di laut. Bagi aku tiada masalah kerana hampir semua kerjaya di darat boleh kami lakukan kerana kami telah dilatih untuk menjalankan semua kerja dalam satu masa. Contohnya TNB, kami menjana elektrik kami sendiri atas kapal, bermain dengan dawai elektrik dan kabel kuasa tinggi. Indah Waters, kami juga turut memproses sistem kumbahan kami sendiri di sini. Najis dan sisa buangan melalui proses yang tertentu. Jabatan Air, kami juga memproses air kami sendiri dengan menukarkan air laur menjadi air yang digunakan seharian untuk minum, mandi dan sebagainya. Pasukan Keselamatan, kami juga mempunyai pasukan sendiri untuk menghadapi ancaman lanun dan penganas, pasukan untuk mencari bom dan mengawal keselamatan kapal. Doktor, kami menjadi doktor sendiri jika berlaku apa-apa sementara menunggu bantuan yang mungkin akan tiba sehari atau dua atau mungkin seminggu. Tukang cuci, ya kami juga menjadi tukang cuci yang akan mencuci apa-apa saja dari bilik, tangki dan sebagainya. Tidak semua contoh dapat aku berikan disini kerana jumlahnya yang banyak.

Anak-anak kapal disini pun bukannya semua orang Malaysia. Selama aku bertugas, aku telah bercampur dengan ramai warganegara asing, baik yang berada di bawah jagaan ku mahupun pegawai atasan aku. Filipina, Indonesia, Burma, Pakistan, India dan Nigeria adalah sebahagian dari contoh warga asing yang sama-sama berkhidmat di sini. Tekanan perasaan haruslah bijak dikawal di sini kerana tidak macam di darat, kalau tension boleh keluar, tapi di sini nak keluar ke mana? Sekeliling adalah lautan yang terbentang nan luas. Mungkin cukuplah dulu catatan untuk kali ini kerana ianya mungkin akan membosankan sesiapa yang membacanya.

submitted by najmin

3 comment:

This comment has been removed by the author.

praveend kumarr

hi,i want to enter in this academy as im very intrested in this,but i already send twice my forms and no reply.

Post a Comment

Site Search