Bekalan kuasa elektrik di atas kapal adalah datang dari sumber kuasa yang dijana oleh generator. Kebiasaannya jumlah dan saiz generator yang dipasang adalah mengikut kadar beban maksimum (maximum load) yang diperlukan oleh sesebuah kapal. Semakin banyak dan besar mesin-mesin (machinery) yang dipasang semakin besarlah kuasa yang perlu dijana oleh generator. Seperti di kapal lepas M.V Bunga Pelangi Dua, terdapat empat generator (main generator) dan satu emergency generator. Jumlah kuasa yang mampu dijana oleh sebuah generator ialah 2200kW pada 100% bebanan. Tetapi sebagai langkah keselamatan dan penjimatan minyak, sebuah generator hanya dijalankan atas 70% bebanan atau kira-kira 1500kW.
Di laut kebiasaannya hanya sebuah generator akan berfungsi untuk membekalkan kuasa ke seluruh bahagian kapal. Manakala 3 buah lagi adalah diletakkan dalam keadaan bersedia (stand by). Third Engineer lah yang dipertanggung jawab untuk menjaga generator ini. Beliau hendaklah sentiasa peka terhadap setiap masalah yang dialami oleh generator dari segi penyelengaraan (maintenance) dan juga spare part inventory. Semua kerja-kerja penyelenggaraan adalah mengikut plan maintenance ataupun running hour sesebuah generator. Sudah menjadi kemestian setiap rekod penyelengaraan, (maintenance record), rekod ujian keselamatan (safety inspection) akan dikemaskini dan diserahkan kepada Ketua Jurutera (Chief Engineer) pada akhir bulan.
Bagi saya sebagai Third Engineer (dan juga Third Engineer lain), adalah menjadi satu trauma atau kebimbangan apabila insiden "blackout" berlaku di atas kapal. Kebimbangan semakin teruk apabila insiden itu terjadi ketika kapal berada di dalam laluan trafik yang sibuk ataupun pada malam hari. Meskipun kapal telah dilengkapi dengan sistem terkini dan canggih, tidak mustahil sekiranya satu masa sistem ini juga kadangkala gagal berfungsi. Apa akan terjadi sekiranya blackout? Keseluruhan operasi kapal akan terhenti serta merta, termasuk kapal juga akan berhenti dan kawalan kemudi (steering) turut gagal. Dapatkah anda bayangkan betapa berat tugas seorang Third Engineer di atas sesebuah kapal.
Fungsi emergency generator amat penting disaat kapal kehilangan keseluruhan bekalan kuasa elektrik. Emergency generator akan berfungsi secara automatik setelah mengesan ketiadaan bekalan elektrik pada saluran utama (main circuit breaker). Sesuai dengan namanya emergency generator tetap menpunyai fungsi yang terhad tidak seperti main generator. Ia hanya membekal kuasa kepada lampu-lampu kecemasan, alat komunikasi dan perhubungan an beberapa machinery lain.
Alhamdulillah setakat ini walaupun sudah beberapa kali mengalami insiden blackout ini ianya tidak begitu serius. Biasanya bekalan kuasa dapat dipulihkan semula dalam masa kurang 15 minit dan kapal dapat meneruskan perjalanan semula selepas itu. Setelah insiden ini berlaku, kami akan memeriksa masalah (trouble shoot) ataupun menyiasat apakah punca penyebab kepada kejadian itu. Apa yang begitu saya harap ialah generator saya tidak mempunyai sebarang kerosakan selepas blackout terjadi. Paling penting kapal kami selamat dan kami juga yang berada di dalamnya selamat. Semoga Allah sentiasa melindungi saya dan mereka yang belayar bersama saya. Tidak lupa juga semua pelaut-pelaut di luar sana.... Moga Allah melindungi kita dan keluarga yang kita tinggalkan di darat. Akhir kata saya ambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Islam 1430 Hijrah .
p/s: malam semalam bergelap di rumah coz blackout.hehe
dan von voyage pada En Azuwan yg akan naik Melati Satu.... baik2 yaa..
0 comment:
Post a Comment