Monday

KONVOKESYEN KE-100


BERDISIPLIN tinggi, selain tekun dan gigih melakukan setiap latihan adalah antara rahsia kejayaan lima pelatih Akademi Laut Malaysia (Alam) dipilih sebagai graduan terbaik Konvokesyen ke-100 Akademi Laut Malaysia (Alam) yang diadakan di kampus tetapnya di Kuala Sungai Baru, Melaka, baru-baru ini.

Kejayaan E Mohan, 22; Mohd Nazarudin Isa, 23; R Vicknesh, 22; Yong Yee Kong, 22, dan Ashutoshi Swami, 21, bukan saja mendorong anak muda ini untuk terus mempamerkan yang terbaik selepas ini, malah turut membanggakan seluruh ahli keluarga mereka.

Mereka adalah antara 125 graduan menerima diploma daripada Pengerusi Malaysian Maritime Academy Sdn Bhd, Amir Hamzah Azizan dan turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Alam, G Adthisaya pada majlis itu. Mengikut pecahan, seramai 106 menerima Diploma Kejuruteraan Marin dan bakinya, Diploma Pengajian Nautika

Daripada jumlah itu, 59 mendapat tajaan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC), selain American Eagle Tankers Inc Ltd (42), Jabatan Perkhidmatan Awam (18), Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (dua), Pacific Ship Management (satu), manakala tiga lagi atas pembiayaan sendiri.

Ketika ditemui selepas majlis itu, tiga daripada mereka sepakat berkata, tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan, sebaliknya usaha bersungguh-sungguh harus menjadi azimat. Selain itu, sokongan pensyarah dan rakan-rakan turut memainkan peranan penting ke arah itu.

Pelajar terbaik keseluruhan dan penerima Diploma Kejuruteraan Marin, E Mohan, berkata, pencapaiannya itu bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan usaha tanpa mengenal erti putus asa termasuk pematuhan jadual harian berkesan sepanjang masa.

"Dalam mencapai kejayaan ini, prinsip saya mudah, iaitu apa juga bidang saya ceburi, disiplin memainkan peranan penting. Sebab itu, bagi saya, insan yang tiada disiplin akan kehilangan punca hidup serta tidak mempunyai pendirian teguh bagi mempertahankan prinsip hidupnya," katanya selepas majlis berkenaan di Dewan Polaris Alam.

Ditanya sama ada beberapa kejadian kapal dagang sering ditawan dan dijadikan tebusan oleh lanun di Teluk Aden, Somalia, bakal memberi kesan kepada dirinya, Mohan pantas menepis dan menyifatkan latihan yang diterima sepanjang berada di Alam lebih daripada mencukupi.

"Ini adalah sebahagian daripada cabaran yang kemungkinan akan kami tempuhi, bagaimanapun di Alam, kami dilatih untuk menangani situasi berkenaan," kata anak muda kelahiran Seremban, Negeri Sembilan dan bercita-cita untuk menjadi ketua jurutera.
GRADUAN berkawat memasuki dewan konvokesyen.

Sementara itu, penerima Anugerah Dekan, Mohd Nazarudin Isa, berkata sepanjang tiga tahun belajar di Alam, semua pelajar diajar kaedah menghadapi pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi sepanjang pelayaran termasuk serangan lanun.

Beliau yang turut menerima Diploma Kejuruteraan Marin berkata, menerusi pelbagai ilmu pengetahuan yang diperoleh, setiap graduan layak untuk belayar di samping mampu berdepan pelbagai kejadian tidak diingini sepanjang pelayaran.

"Kami diajar banyak perkara bukan saja serangan lanun tetapi juga kejadian lain seperti kebakaran dan kapal karam. Tidak cukup dengan itu, sepanjang tempoh belajar di sini, kami semua didedahkan dengan ilmu daya ketahanan mental dan fizikal," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Pelajar Terbaik Akademik, R Vicknesh, pula berkata, beliau akan terus berusaha sebaik mungkin untuk mempamerkan perkhidmatan cemerlang selepas menamatkan pengajian untuk memburu cita-cita sebagai ketua jurutera.

Berasal dari Klang, Selangor, beliau berkata, kerjaya jurutera perkapalan semakin penting berikutan perkembangan mendadak industri itu terutama membabitkan perdagangan antara negara yang masih banyak menggunakan jalan laut.

"Menjadi seorang jurutera kapal bukan tugas mudah, kerana seseorang itu perlu mahir dalam beberapa bidang kejuruteraan termasuk mekanikal, elektrikal serta awam. Ini penting bagi memastikan kelancaran sistem perkapalan, termasuk pengendalian enjin utama dan bantuan kapal serta sistem berkaitan seperti pengendalian bilik pesawat motor, sistem penyejukan dan sistem pendingin hawa.


"Selain itu, perlu memastikan tugas penjanaan kuasa tenaga serta penyulingan air laut dilakukan dengan sempurna. Dengan itu, jurutera berkaliber amat diperlukan dalam sesebuah kapal bagi memastikan ia tiba ke destinasi dengan selamat dan tepat pada masanya," katanya.

3 comment:

Peh smart....aku minat jadi kelasi kapal ni...tapi tak kesampaian..

Gamabr diatas adalah grade untuk bakal officer bukan kelasi

Post a Comment

Site Search