Tuesday

PELATIH ALAM DISAHKAN H1N1



Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan satu kejadian mempunyai simptom influenza dikesan di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Kuala Sungai Baru, Melaka, yang melibatkan 50 pelatih.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan akhbar mengenai situasi inflenza A(H1N1) hari ini berkata ujian makmal mengesahkan enam daripada lapan sampel yang diuji berkeputusan positif bagi jangkitan influenza A(H1N1).

"Kesemua 50 pelatih yang menunjukkan gejala telah ditempatkan di blok pengasingan dalam kompleks ALAM dan telah diberikan rawatan antiviral, dan kesemuanya adalah dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata para pelatih dan anggota ALAM yang tidak mempunyai apa-apa gejala telah diletakkan di bawah pengawasan.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata sehingga pukul 8 pagi ini, terdapat 45 kes baru influenza A(H1N1) telah dilaporkan di Malaysia yang terdiri daripada 23 kes import dan 22 kes jangkitan tempatan.

Ini menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan di Malaysia sehingga kini berjumlah 513 kes yang terdiri daripada 378 kes import dan 135 kes jangkitan tempatan, katanya.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Kementerian Kesihatan juga menjelaskan daripada 513 jumlah pesakit influenza A(H1N1) yang disahkan, sejumlah 430 (84 peratus) telah sembuh dan telah discaj daripada hospital.

Baki pesakit yang sedang dirawat di hospital berjumlah 83 orang, katanya.

Berkaitan 45 kes baru yang dilaporkan melibatkan 38 warganegara Malaysia dan tujuh warga asing iaitu Indonesia (empat), New Zealand (satu), Yaman (satu) dan India (satu).

Daripada 23 kes import, mereka telah memberikan sejarah melawat negara yang terjejas dengan wabak influenza A(H1N1) iaitu Indonesia (11), Australia (tiga), Filipina (tiga), Amerika Syarikat (satu), China (Macau) (satu), China (Hong Kong) (satu), Thailand (satu), New Zealand (satu) dan Singapura (satu).

Seramai 20 kes jangkitan tempatan melibatkan warga tempatan dan lima daripadanya adalah di kalangan peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC), Pulau Pinang, menjadikan jumlah terkumpul sehingga kini seramai 25 orang. Dua kes adalah warganegara asing yang menuntut di ALAM, katanya.

Selain itu butiran 83 pesakit yang masih dirawat di hospital adalah termasuk di Hospital Kuala Lumpur (22 pesakit), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu (17), Hospital Miri (lima), Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (lima), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (empat) dan Hospital Pulau Pinang (empat).

Hospital-hospital lain adalah Hospital Sungai Buloh (empat), Hospital Melaka (tiga), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (tiga), Hospital Batu Pahat (tiga), Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (tiga), Hospital Umum Sarawak (dua), Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu (dua), Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (dua), Hospital Queen Elizbeth, Kota Kinabalu (satu), Hospital Tawau (satu), Hospital Bintulu (satu) dan Hospital Tumpat (satu).

Jumlah kontak yang sedang menjalani kuarantin di rumah adalah 1,109 orang, dengan enam kontak dikesan mempunyai gejala simptom influenza.

Merujuk kepada situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga kini, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan ke WHO adalah sebanyak 96,624 kes dengan 433 kematian daripada 135 negara, iaitu pertambahan 1,096 kes.

Lima negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi adalah Australia (620), New Zealand (136), Singapura (106), Jepun (88) dan China (57).

0 comment:

Post a Comment

Site Search