Wednesday

Pelaut kita mesti terlatih

Syarat ini perlu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maritim yang terkenal serta mempunyai standard tinggi

SIBU: Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, negara perlu melahirkan pelaut atau kelasi kapal yang terlatih jika mahu menjadi sebuah negara maritim yang terkenal serta mempunyai standard yang tinggi.

Katanya, dunia hari ini telah berubah dan cara belayar serta peralatan pelayaran juga telah berubah di mana seorang pelaut yang mahir memerlukan kemahiran tertentu untuk mengendali dan menguruskan sesebuah kapal.

“Dahulu seseorang boleh menjadi pelaut asal pandai berenang. Namun kini seorang pelaut memerlukan satu latihan yang mempunyai standard yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

“Pengiktirafan ini penting bagi membolehkan sesebuah kapal itu dilindungi insurans, selain memastikan anak kapal serta peralatan yang diguna juga diiktiraf,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Pegawai Dek dan Marin Rating Pusat Latihan Pelita Maslaut di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Sarawak Nasaruddin Ismail, Pengarah Urusan Pelita Maslaut Masni Amit serta Pengurus Operasi Mohd. Safrin Masni.

Menurut Abang Johari, masa depan seorang pelaut di kawasan tengah Sarawak adalah cerah memandangkan ianya menempatkan kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE). Katanya, industri perkapalan diperlukan bagi membawa keluar hasil dari SCORE seperti aluminium, bahan makanan, dan sebagainya ke negara luar.

“Jika ianya dibawa menggunakan kapal, sudah pasti kita mahu barangan tersebut sampai ke destinasi dengan selamat serta dibawa oleh mereka yang pakar dalam pengangkutan ini,” jelas beliau.

Abang Johari menambah, adalah harapan kerajaan negeri dan pusat untuk melahirkan ramai tenaga mahir atau modal insan yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang tertentu.

Kerajaan katanya juga telah mengenal pasti kawasan Sibu, Tanjung Manis dan Mukah sebagai tempat bagi memberikan latihan kepada mereka yang ingin menceburi bidang maritim.

Sehubungan itu jeloas beliau, Pelita Akademi boleh mengkaji untuk memperluaskan akademi dan seterusnya mendapatkan tenaga pengajar yang terlatih serta peralatan yang dikehendaki dalam pelayaran moden bagi menampung permintaan.

Sumber :- http://www.mysarawak.org/


0 comment:

Post a Comment

Site Search