Wednesday

Kerajaan Hantar Anak Miskin Ikuti Kursus Kelasi Kapal


KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Dalam usaha menangani masalah kemiskinan tegar, kerajaan negeri Terengganu akan menghantar anak-anak orang miskin untuk mengikuti kursus-kursus seperti kursus kelasi kapal dan membina bot gentian kaca di dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan Negeri Datuk Rosol Wahid berkata seramai kira-kira 140 orang akan dihantar untuk mengikuti kursus kelasi kapal dan membina bot gentian kaca tahun ini.

"Kita akan hantar 40 orang untuk mengikuti kursus kelasi kapal di Pelabuhan Kemaman dan 100 orang untuk mengikuti kursus membina bot gentian kaca di Tanjung Pinang, Indonesia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Tahunan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) dan Geran Briged Kebajikan Perdana (BKP) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kebajikan Negeri Adnan Abu Bakar.

Rosol berkata kerajaan negeri akan membiayai sepenuhnya perbelanjaan untuk mengikuti kursus-kursus tersebut iaitu selama antara enam dan lapan bulan bagi setiap kursus.

Mengikut rekod, beliau berkata seramai 80 orang telah mengikuti kursus kelasi kapal sejak dimulakan tahun 2005 dan keseluruhan mereka yang mengikuti kursus itu telah mendapat pekerjaan dengan kapal-kapal antarabangsa.

Rosol berkata kursus membina bot gentian kaca pula, kerajaan bercadang akan menghantar seramai 100 orang untuk mengikuti kursus itu di Tanjung Pinang, Indonesia pada tahun ini.

Beliau berkata seramai 80 orang telah mengikuti kursus tersebut sejak dua tahun lepas dan ia didapati sangat berkesan kerana 80 peratus daripada mereka yang tamat kursus telah dapat pekerjaan manakala selebihnya ingin membuka perusahaan bot sendiri.

"Tidak secara langsung anak-anak ini dapat menanggung keluarga mereka dan sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan tegar di negeri ini," katanya.

Rosol berkata mengikut rekod, terdapat sebanyak kira-kira 23,000 orang miskin dan 10,000 daripadanya dikategorikan sebagai golongan miskin tegar di seluruh negeri Terengganu setakat ini.

Sementara itu, Adnan berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.1 juta untuk badan-badan kebajikan di negeri Terengganu tahun ini.


2 comment:

Post a Comment

Site Search