Tuesday

ATM pandang serius kapal selam Scorpene rosak

KUALA LUMPUR, Feb 12 — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan terdapat kerosakan pada sistem saluran air bertekanan tinggi pada kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman menyebabkan aset strategik itu tidak boleh menyelam kerana dikhuatiri membahayakan.

Bagaimanapun menurut Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar kerosakan mekanikal yang dikesan pada 7 Januari lalu ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Kapal Selam, Teluk Sepanggar itu tidak membimbangkan kerana hanya melibatkan sistem sokongan kapal.

Ia menjadi perhatian ketika Kementerian Pertahanan berhadapan dengan isu enjin jet pesawat TUDM hilang dan rahsia pertahanan dilaporkan dijual kepada negara asing.

“Kerosakan itu melibatkan bahagian yang menyalurkan tekanan air keluar masuk dan ini menyebabkan kapal tersebut gagal dilancarkan ke bawah permukaan air.

“Ia berlaku ketika kapal selam berada di limbungan kering dan bukannya semasa operasi,” kata beliau dipetik akhbar tempatan.

Kapal selam pertama negara itu gagal menyelam berikutan masalah teknikal yang dialami sejak tiga bulan lepas.

Jelas Abdul Aziz, kerosakan itu sedang dibaik pulih oleh kontraktor yang dilantik dan dijangka KD Tunku Abdul Rahman akan memulakan ujian perairan tropika pertamanya pada 18 Feb ini sebelum diteruskan dengan ujian persenjataan pada Mac.

“Kerosakan kecil seperti ini memang perkara biasa kepada mana-mana sistem persenjataan baru dan KD Tunku Abdul Rahman masih lagi dalam tempoh jaminan oleh syarikat pembuat iaitu DCNS.

“Namun, kami tetap memandang serius perkara ini walaupun kerosakan tersebut tidak mengganggu sistem utama kapal selam itu,” jelasnya.

Beliau turut mengesahkan bahawa kapal selam yang sama juga pernah mengalami kerosakan di bahagian sistem penyejuk air laut tetapi telah dibaiki pada 17 Dis lalu.

Ditanya jaminan masalah sama tidak akan berlaku pada kapal selam kedua, KD Tun Abdul Razak, beliau berkata ujian terperinci dilaksanakan secara berterusan ke atas kapal selam tersebut yang dijangka tiba pada 31 Mei ini.

Kapal selam Scorpene buatan Perancis dengan kerjasama Sepanyol yang diperoleh negara merupakan kapal selam tempur berenjin diesel antara paling canggih di dunia buat masa ini.

KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang dilengkapi sehingga 18 torpedo juga boleh melancarkan peluru berpandu anti-kapal permukaan Exocet SM-39, pada masa yang sama turut membawa 30 pemusnah periuk api serta mampu menyelam sehingga kedalaman 300 meter.

sumber http://www.themalaysianinsider.com

0 comment:

Post a Comment

Site Search