Tuesday

Kapal selam pertama negara

Sejarah tercipta buat negara dengan ketibaan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman, di pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, di Pulau Indah di Pelabuhan Kelang hari ini.

Ketibaannya disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga anggota keluarga anak kapal KD TAR.

KD TAR, yang dikendali oleh 32 orang pegawai dan anggota diketuai Pegawai Memerintah Komander Zulhelmey Ithnain merapat ke jeti pada 9.20 pagi, dengan anak kapalnya melambai-lambai ke arah orang ramai.

Tuanku Mizan dan Sultan Selangor serta Tengku Amir Shah bersama Najib, Muhyiddin, Ahmad Zahid, Panglima ATM, Panglima TLDM dan Ketua Polis Negara kemudiannya diiring masuk melawat ke dalam kapal selam pertama negara itu.

Sempena ketibaan KD TAR, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melancarkan setem kenangan dan sampul surat hari pertama yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia dengan kerjasama TLDM bagi mengiktiraf aset pertahanan negara itu.

KD TAR mula belayar dari tempat ianya dibina di Toulon, Perancis, pada 11 Julai dan mengambil masa 54 hari untuk tiba di Pelabuhan Klang dengan melakukan persinggahan di Jeddah, Djibouti dan Cochin di India.

Semasa dalam pelayaran pulang kapal selam itu telah melakukan penyelaman selama 32 hari, belayar di permukaan selama 10 hari dan selebihnya singgah di pelabuhan.

KD TAR adalah antara dua kapal selam baru jenis Scorpene yang ditempah oleh kerajaan pada 2002 dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion. Ia dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari
Sepanyol.

Sebuah lagi, yang dinamakan KD Tun Razak, akan ditauliahkan pada Oktober ini dan dijangka tiba di Malaysia pada Mac tahun depan.

Sumber http://www.malaysiakini.com/news/112010

0 comment:

Post a Comment

Site Search