Oleh Nurqalby Mohd Reda
MELAKA, 1 Dis (Bernama) -- "Latihan di sini, selain memerlukan ketahanan fizikal dan mental, kami perlu berani mengambil risiko yang turut boleh membahayakan nyawa," kata seorang gadis manis, krew kapal wanita pertama Akademi Laut Malaysia (ALAM).
Che Fatin Ezzaty Johan, 21, graduan institut latihan dan pendidikan maritim ini, kecil molek orangnya tetapi merupakan seorang daripada 13 kadet wanita pertama yang berjaya menamatkan pengajian di akademi itu.
Beliau menerima Diploma dalam Kejuruteraan Marin pada Majlis Konvokesyen ke-102 di akademi berkenaan baru-baru ini.
(ALAM ditubuhkan pada 1977 sebagai langkah melahirkan krew perkapalan profesional di Malaysia).
Menjadi antara kadet wanita pertama, gadis yang mesra disapa Fatin ini, mengakui beliau begitu berbangga kerana menjadi perintis yang mempelopori bidang ini walaupun pada mulanya tidak punya pengetahuan tentang kursus yang dipohon di ALAM.
SUKA-SUKA ISI BORANG
Hanya sekadar suka-suka mengisi borang kemasukan akademi itu, beliau tidak menyangka terpilih menjadi pelajar di sini.
"Saya sendiri tidak tahu apa peranan sebenar anak kapal...apa yang saya tahu saya cuma tertarik pada iklan kemasukan yang tertera di dalam akhbar," katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.
Malah, sebelum menerima tawaran itu, Fatin menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Kulim, Kedah dan sempat menimba ilmu di kolej itu selama dua bulan.
"Bila dapat tawaran dari ALAM, saya berhenti belajar di kolej dan terus mendaftar di ALAM. Saya rasa, saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza dan cuba menjalani kehidupan di laut," katanya.
"Mula-mula menyertai ALAM, memang susah. Saya ambil masa tiga bulan untuk sesuaikan diri. Apatah lagi dalam kelas...hanya dua orang pelajar wanita dan 28 pelajar lelaki. Walaupun ada 13 pelajar wanita di sini tetapi kami tidak dikumpulkan di dalam satu kelas. Jadi itu perkara pertama yang saya harus terima dan sesuaikan diri.
"Saya berterima kasih kepada ALAM kerana membuka peluang kepada kami untuk menjadi sebahagian daripada anak kapal. Selain belajar teori di sini kami juga perlu menduduki latihan praktikal di laut," tambah Fatin.
DUA KURSUS
ALAM sebagai sebuah pusat pendidikan maritim terulang di Malaysia menawarkan dua jenis kursus bagi mereka yang berminat menyertai bidang maritim -- Diploma Pengajian Nautika dan Diploma Kejuruteraan Marin -- yang mengambil tempoh tiga tahun.
Kos pengajiannnya tinggi, mencapai RM70,000. Namun, mereka yang berminat tidak perlu gusar kerana bagi setiap pelajar yang diterima masuk di akademi ini, kos pengajian mereka secara langsung akan ditaja oleh syarikat-syarikat yang berminat mengambil mereka bekerja sebagai krew kapal milik agensi berkenaan.
Selain kapal Malaysia seperti Malaysia International Shipping Corporation Bhd (MISC), agensi yang berminat memberi penajaan termasuk syarikat yang berkaitan dengan gas dan minyak serta beberapa syarikat di dalam dan luar negara yang berkaitan dengan maritim.
Bagaimanapun kelonggaran tetap diberi bagi pelajar yang berkemampuan untuk membiayai pengajian atau untuk mencari penaja mereka sendiri tanpa terikat dengan syarikat penaja yang sedia ada.
Sebelum seseorang itu diterima memasuki akademi ini, mereka perlu memenuhi beberapa syarat.
Mereka mesti berumur antara 17 hingga 23 tahun, memiliki Sijil Pelajaran Malaysia dengan kepujian dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Fizik atau Sains.
Bakal penuntut juga harus memastikan diri mereka mempunyai tahap mental dan fizikal yang kuat dan selain memiliki penglihatan yang baik.
TIGA BELAS GRADUAN WANITA
Meskipun pekerjaan sebagai kadet perkapalan lebih didominasi oleh golongan lelaki, namun tidak menghalang Che Fatin dan pelajar wanita lain bersama-sama mengharungi cabaran belayar di lautan biru.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam M.Adthisaya Ganesen berbangga apabila ALAM melakar sejarah melahirkan 13 kadet wanita daripada 302 pelajar pada hari konvokesyen akademi itu, tahun ini.
"Kami berbangga untuk menyatakan bahawa graduan kami dipandang tinggi oleh industri maritim dan adanya kelahiran kumpulan pertama kadet wanita, industri kini mempunyai banyak pilihan," katanya.
MODUL LATIHAN
ALAM menyediakan modul latihan yang sama kepada semua penuntutnya tanpa sebarang diskriminasi gender.
"Kadet wanita ini juga mengikuti latihan yang sama, tidak kiralah latihan fizikal mahupun di dalam kelas, mereka perlu buktikan bahawa mereka mampu lakukannya dengan sebaik mungkin... dan akhirnya mereka berjaya," katanya.
Seorang lagi graduan wanita, Koh Poi Khoon, 21, berkata minat yang mendalam dalam industri maritim mendorong beliau menyambung pengajian di ALAM.
"Latihan yang lasak seperti tentera sememangnya sukar. Pada mulanya kami diwajibkan menjalani induksi selama seminggu dan dalam tempoh itu saya seakan sudah patah semangat," kata Koh.
Beliau berkata berkat dorongan ibu bapa dan mendapat cabaran daripada abangnya, beliau tekad untuk tidak berhenti daripada akademi ini.
"Abang juga bekerja sebagai krew kapal. Melihatkan dia sering memperkecil saya, semangat dalam diri ini menjadi lebih kuat. Saya sering bertanya pada diri, jika abang boleh mengapa saya tidak," kata anak bongsu daripada dua beradik ini.
Koh yang juga penerima Diploma Kejuruteraan Marin berkata kejayaannya itu membuatkan abangnya terdiam, kagum.
"Apa yang penting jangan berputus asa. Wanita juga mampu bersaing seperti lelaki," tegasnya.
PENDAPATAN LUMAYAN
Peluang masa depan yang cerah dan tawaran gaji lumayan dalam bidang perkapalan merupakan faktor utama yang menarik minat pelajar menyertai ALAM.
Bagi Geetha Selvaraja,23, gaji lumayan yang ditawarkan kepada krew kapal dan peluang membina kerjaya yang cemerlang mendorongnya untuk memasuki akademi berkenaan.
"Selepas tamat STPM saya mencari peluang pekerjaan. Melihat kepada tawaran menjadi kadet yang memberikan upah yang agak lumayan membuatkan saya tidak berfikir dua kali... maklumlah untuk mendapat kerja sekaligus membina kerjaya yang stabil pada masa kini bukannya mudah," katanya yang berasal dari Batu Berendam, Melaka.
Katanya dengan menjadi krew kapal juga memberikan beliau peluang menjengah ke negeri orang bagi memenuhi latihan praktikalnya selama sembilan bulan.
"Selain menjalankan kerja penyelenggaran kapal, terutama di bahagian dek, tugas ini juga membawa saya belayar ke Jepun, Korea dan Taiwan. Ternyata perasaan ini sememangnya sukar untuk digambarkan," katanya yang lulus dengan Diploma dalam bidang Pengajian Nautika.
Rakannya, Fara Wahida Azahar turut bersetuju dengan pendapat itu. Baginya bidang maritim sememangnya menawarkan prospek kerja yang sangat luas dan wajar diceburi oleh golongan muda yang berminat.
"Bagi mereka yang berminat terutamanya dalam sektor perkapalan, gunakanlah peluang yang ada, nyata ia tidak sia-sia," katanya.
TIDAK GENTAR ANCAMAN LANUN
Kejadian beberapa buah kapal dagang ditawan dan dijadikan tebusan lanun termasuk kapal Malaysia MT Bunga Melati 2 dan MT Melati 5 dalam insiden di Teluk, Aden, Somalia, tahun lepas, ternyata tidak mematahkan semangat pelajar lulusan akademi ini untuk terlibat dalam industri maritim.
Mereka menganggap ancaman lanun ialah sebahagian cabaran yang perlu dihadapi sebagai seorang pelaut.
Noorhazzanarita Mat Nasir, 21, berkata sepanjang tiga tahun belajar di ALAM, kesemua pelajar diajar cara-cara untuk menghadapi pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi sepanjang pelayaran termasuk serangan lanun.
"Pengalaman belajar di akademi ini membuatkan kesemua graduan terutamanya graduan wanita seperti kami menjadi lebih kuat. Kami diajar banyak perkara bukan sahaja serangan lanun tetapi juga kejadian lain seperti kebakaran dan kapal karam.
"Namun saya tidak terlalu memikirkannya perkara negatif seperti itu, bagi saya apa yang penting ialah menjalankan tugas saya sebaik mungkin," katanya yang bercita-cita menjadi kapten satu hari nanti.
Kesemua graduan ini bakal memulakan tugas selewat-lewatnya tahun depan setelah diberi cuti rehat selama tiga bulan.
"Apa yang saya tahu kami tidak sabar untuk memulakan tugas sebagai anak kapal nanti," tambah Noorhazzanarita ceria.
-- BERNAMA
1 comment:
saya bakal menuntut pengajian di Ranaco Marine dalam bidang Occupational Safety & Health,apabila saya sudah tamat pengajian, adakah saya akan di terima jika saya memohon untuk memasuki ALAM.
Post a Comment