Thursday

Akademi pelita maslaut harap dapat latih ramai pelaut

SIBU, 31 Okt (Bernama) -- Akademi Maritim Pelita Maslaut (PMMA) berharap dapat melatih lebih ramai pelaut kawasan pantai menjelang 2010, kata Pengarah Urusannya Masni Amit.

Katanya pada masa ini kira-kira 60 peratus yang diambil bekerja oleh syarikat perkapalan tempatan terdiri daripada rakyat India, Filipina, Indonesia dan Myanmar.

"Visi kami ialah untuk menyumbang dalam menurunkan angka itu kepada hanya 20 peratus menjelang 2010," katanya selepas majlis penyampaian sijil kepada 24 pegawai dek dan marin di sini hari ini.

Sijil kepada lulusan berkenaan disampaikan oleh Menteri Perumahan Negeri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg.

PMMA, sebuah anak syarikat Pelita Maslaut Group yang berpangkalan di Miri, ditubuhkan pada 1 Ogos, 2001. Ia diiktiraf oleh Kementerian Pengangkutan dan menduduki ranking kedua dalam negara dari segi melatih pelaut selepas Akademi Maritim Malaysia di Melaka.

Masni berkata sehingga ini, PMMA telah melatih seramai 100 pegawai.

Katanya tidak seperti Akademi Maritim Sarawak yang baru ditubuhkan di sini, PMMA disesuaikan untuk tujuan menghasilkan lebih ramai pelaut kawasan pantai.

"Akademi Sarawak ditubuhkan bagi mengeluarkan lebih ramai pelaut untuk bekerja di luar negara dan menawarkan kursus pada peringkat diploma," katanya.

Sementara itu, Abang Abdul Rahman Zohari mengesa PMMA mengembangkan skop program latihannya bagi merangkumi kursus peringkat lanjutan.

"Pemilik ada pengalaman. Mereka boleh melakukanya dengan membawa masuk pensyarah berkelayakan bagi menawarkan kursus peringkat diploma," katanya pada taklimat media selepas majlis penyampaian sijil itu.

Katanya PMMA juga boleh menceburi program latihan dengan institusi lain yang menawarkan bidang pengajian maritim.

Abang Abdul Rahman Zohari turut mencadangkan pengurusan PMMA supaya menimbang untuk mengubah lokasi maritim itu ke zon khusus Tanjung Manis bagi industri pembinaan kapal dan pembaikan di Bahagian Mukah.

"Terdapat potensi yang besar bagi akademi ini di sana," katanya.

Katanya lagi kerajaan negeri buat permulaan, memperuntukkan kawasan seluas 157 hektar di situ untuk mana-mana pihak yang berminat untuk membina kapal laut dengan berat melebihi 10,000 tan.

"PMMA boleh memainkan peranan dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang meliputi kawasan dari Similajau di Bintulu ke Tanjung Manis.

"Antara industri yang dikenal pasti dibangunkan di SCORE ialah peleburan aluminium, pemprosesan minyak sawit, makanan halal, pertanian serta pengeluaran makanan organik.

"Kami pastinya memerlukan lebih banyak kapal dan jumlah pelaut yang besar untuk penghantaran komoditi itu," katanya.

-- BERNAMA

1 comment:

Post a Comment

Site Search