Sunday

Syarikat Perkapalan Harus Tingkatkan Usaha



KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa syarikat perkapalan tempatan agar menggiatkan usaha menarik mereka yang berminat menjadi pelaut menyertai profesion itu.

“Orang ramai perlu tahu pelaut adalah profesion yang mulia dengan potensi yang besar dan peluang kerjaya yang banyak,” katanya ketika berucap pada jamuan malam sambutan jubli perak Institut Kelautan Malaysia (Ikmal), di sini malam ini.

Dr Mahathir berkata bilangan pelaut tempatan sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung keperluan armada Malaysia.

Buat masa ini armada Malaysia mengandungi lebih 4,700 buah kapal dagang dan lebih 1,000 daripadanya terlibat dengan perdagangan antarabangsa, kata beliau.

“Sekarang berdasarkan rekod, kita ada sekitar 20,000 pelaut tempatan tetapi kebanyakan berkhidmat untuk perdagangan domestik. Pada masa yang sama kebergantungan kita kepada pelaut asing berterusan dan tahun ini sahaja kita ada lebih 9,500 orang berkhidmat di atas kapal kita,” katanya.

Mereka katanya, menyumbang secara signifikan kepada sektor ekonomi dan bukan saja profesional dalam melakukan kerja tetapi juga boleh digunakan untuk melatih tenaga kerja tempatan dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju pada 2020.

“Tidak perlu diperkatakan bahawa kita wajar mempunyai tenaga kerja terlatih, berkemahiran tinggi, cekap dan bermotivasi tinggi agar dapat memacu negara kita,” katanya.

Justeru kata Dr Mahathir, badan profesional seperti Ikmal harus mempromosikan rasa bangga sebagai golongan profesional dalam diri pelatih sedia ada dan juga bakal rekrut. – BERNAMA

0 comment:

Post a Comment

Site Search