Sunday

Mahkamah khas industri maritim perkapalan


PENUBUHAN mahkamah khusus bagi menyelesaikan kes sivil berkaitan industri maritim, baru-baru ini, mampu memacu pertumbuhan agresif dalam sektor perkapalan negara, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, penubuhan mahkamah itu adalah inisiatif khas kerajaan bagi memastikan industri perkapalan tempatan kekal relevan dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Katanya, pelbagai isu dan kerugian pihak industri dapat dielakkan apabila sesuatu kes berlaku di perairan negara dapat diselesaikan dengan segera tanpa perlu menunggu giliran di mahkamah sivil seperti sebelum ini.
“Sektor perkapalan menjadi nadi pengangkutan perdagangan antarabangsa yang mewakili 95 peratus, justeru kerajaan bersedia menyediakan asas baik dan menarik kepada pihak industri bagi memastikan negara mencapai pertumbuhan baik, manfaat daripada potensi ini.

“Antaranya menerusi komitmen mewujudkan integriti dalam industri ini kerana sebarang kelewatan membabitkan perundangan sivil di perairan ini akan menyebabkan kapal tidak beroperasi dan ia akan mendatangkan pelbagai masalah dan kerugian kepada pihak pengusaha serta kerajaan,” katanya selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Maritim dan Logistik Asia Keenam 2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, kerajaan menyasarkan isu lebihan kapal berbanding permintaan akibat krisis ekonomi, baru-baru ini, akan selesai dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Katanya, berdasarkan petunjuk ekonomi negara pengeluar dunia semakin memberangsangkan disokong pemulihan kuasa besar ekonomi.
“Kerajaan menyedari krisis ekonomi dunia telah menjejaskan syarikat perkapalan di Malaysia dan juga Asia, namun sasaran keluar dari kesan krisis ini adalah optimistik berdasarkan kepada pengeluar antarabangsa yang bersedia meningkatkan eksport mereka,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Ir. Nordin Mat Yusoff, berkata walaupun tempahan pengangkutan perkapalan global terus menunjukkan penurunan kepada 7,495 kapal pada awal September lalu, iaitu nilai terendah sejak 2006, beberapa negara utama dalam industri sudah mula bangkit memperoleh tempahan baru.

Katanya, negara seperti Korea Selatan, Jepun dan China dilaporkan sudah pulih untuk menerima tempahan perkhidmatan baru khususnya bagi kapal jenis kontena dan tangki yang akan memberi kesan pengurangan tawaran perkhidmatan dalam tempoh tiga tahun bermula 2012.

0 comment:

Post a Comment

Site Search