Hari pelaut merupaka satu penghargaan kepada pelaut Malaysia |
Hasil konvensyen peringkat antarabangsa berkenaan pelaut yang diadakan di Manila, Filipina pada 2010, maka 25 Jun setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Pelaut di seluruh pelusuk dunia.
Di Malaysia, sambutan meraikan pelaut telah lama diadakan khususnya pada setiap hari raya melalui penganjuran Hari Terbuka Pelaut di Wisma Pelaut Pelabuhan Klang. Bermula tahun lepas, Malaysia tidak terkecuali untuk turut sama meraikan sambutan hari pelaut pada 25 Jun 2011 buat pertama kalinya melalui sambutan ringkas di Wisma Pelaut, Pelabuhan Klang.
Tahun ini, sambutan bermakna tersebut akan diraikan di Pulau Mutiara dengan kerjasama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Mengapa pelaut perlu diraikan? Adakah mereka minta diraikan?
Pelaut tidak kisah tentang keraian ini. Malah masih ramai lagi pelaut yang tidak menyedari wujudnya suatu hari khusus untuk mereka. Selain itu, pelaut banyak menghabiskan masa hidupnya di laut; di atas kapal. Kapal akan sentiasa bergerak membawa kargo dan penumpang, dan mereka tidak peduli untuk meraikannya.
Namun demikian, idea dan kesedaran ini muncul untuk meraikan para pelaut di seluruh dunia atas jasa dan pengorbanan yang telah mereka curahkan. Merekalah penggerak utama ekonomi dunia. Tanpa pelaut yang merupakan tulang belakang pengangkutan maritim dunia, pasti 90% kargo dunia yang diangkut melalui kapal di lautan tidak akan tiba ke destinasinya.
Saban waktu, ketika kita menamatkan waktu kerja di petang hari, memandu pulang dalam keletihan, tapi pasti akan gembira apabila tiba di rumah disambut isteri dan anak-anak. Tapi tidak bagi mereka yang bergelar pelaut. Kapal itulah rumah dan tempat kerja mereka. Lautan luas yang terbentang sentiasa ingin menelan mereka. Keindahan panorama terbit dan tenggelamya matahari sahajalah yang sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan pada keluarga di rumah.
Perlu diketahui juga, dalam era moden ini sekalipun, masih ramai pelaut yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Mereka terpaksa dan dipaksa bertugas di kapal sub-standard yang tidak selamat, ada yang tidak dibayar gaji, ditinggalkan terkapai-kapai di pelabuhan entah dimana, menghadapi risiko keganasan lanun, dan pelbagai lagi dugaan oleh kapitalis yang menekan para pelaut.
Namun demikian, dengan usaha berterusan pihak pentadbir dan kesatuan-kesatuan pelaut serta kesedaran dan keprihatinan majikan yang bertanggungjawab, taraf pekerjaan pelaut akan terus dimartabatkan. Kebajikan pelaut akan dibela. Ketahuilah, seluruh rakyat dunia berterima kasih kepada pelaut.
Pelaut, Wira Dunia. Kami Bangga Sebagai Pelaut Malaysia.
Kredit:- http://perkapalanmalaysia.com
0 comment:
Post a Comment