Saturday

Banjir di Kedah

ALOR SETAR 2 Nov. - Seramai 15,509 penduduk daripada 4,292 keluarga di beberapa daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir akibat dilanda banjir teruk sejak semalam.

Daripada jumlah itu 10,834 penduduk daripada 3,108 keluarga adalah dari daerah Kubang Pasu, manakala 3,478 mangsa daripada 927 keluarga adalah dari Padang Terap, 709 penduduk daripada 154 keluarga di Kota Setar dan 488 penduduk daripada 103 keluarga di Pokok Sena.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara, Ridwan Yahya berkata sebanyak 79 pusat penempatan mangsa banjir telah dibuka di keempat-empat daerah dan daripada jumlah itu, 31 di Kubang Pasu, 33 di Padang Terap, tujuh di Pokok Sena serta lapan di Kota Setar.


keadaan banjir sekitar menara Alor Setar


Sementara itu beliau berkata empat pusat di Padang Terap telah ditutup dan 166 penduduk daripada 42 keluarga telah pulang ke rumah masing-masing.

Antara kampung yang terbabit banjir di Kubang Pasu ialah, kampung Changkat Setoi, Paya Lantau, Malau, pekan Changlun, Jitra dan Kodiang, manakala bacaan paras air sungai Bata melepasi paras bahaya iaitu 10.22 meter (paras bahaya 9.14m).

Di Padang Terap antara yang terlibat ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Bacaan paras air Sungai Kuala Nerang telah melepasi paras bahaya iaitu 20.94 meter berbanding paras bahaya 17.07 meter manakala tiga lagi sungai iaitu Sungai Padang Sanai di paras 33.45m (paras bahaya 36m), Sungai Kubu di paras 15.50m (paras bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 31.97 (paras bahaya 33m). - Bernama

0 comment:

Post a Comment

Site Search