Thursday

Tumpahan minyak Tanjung Ayam jejas nelayan


KOTA TINGGI: Nasib lebih 400 nelayan pesisir pantai di sebahagian kawasan Pengerang di sini, kian terancam kesan daripada tumpahan minyak akibat pertembungan dua kapal di Tanjung Stapa di sini, awal pagi kelmarin.

Lebih membimbangkan, hampir 2,000 tan minyak yang bertebaran di tengah laut mula menular di beberapa kawasan nelayan berpotensi termasuk Kampung Sungai Rengit, Kampung Sungai Buntu, Kampung Sungai Kapal, Kampung Teluk Empang, Kampung Langkah Baik, Kampung Jawa dan Kampung Sebong.


Nelayan dari Kampung Sungai Buntu, Aziz Mohd Shah, 58, yang mencari rezeki dengan menjaring udang kaki merah dan udang kara di sekitar Tanjung Ayam berkata, dia dan nelayan lain turut diancam kerugian selepas jaringnya rosak akibat tumpahan minyak terbabit.


Menurut Aziz, dia mula menyedari kehadiran sebahagian kecil tumpahan minyak di kawasan berdekatan pesisir pantai ketika sibuk menjaring udang, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.


“Nasib saya baik kerana sudah menyedari kehadiran tompokan minyak panjang dipercayai dibawa arus ke kawasan kami biasa memancing sejak semalam (kelmarin).


“Namun apabila ke laut jam 6.30 pagi tadi (semalam), saya gagal mengelak kesan minyak hingga menyebabkan separuh daripada jaring yang digunakan rosak akibat terlekat minyak,” katanya.


Rakannya, Samsudin Mohamed Yusoff, 49, yang menjaring di kawasan sama berkata, ancaman tumpahan minyak itu tidak menentu kerana ia bergantung kepada haluan angin.


“Di permukaan laut, ia cair namun sekiranya sampai ke pesisir pantai ia akan menjadi kering dan pekat hingga mendatangkan risiko kepada peralatan menjaring.


“Bagaimanapun, buat masa ini, jika jaring kotor terkena minyak, kami boleh tukar dengan menanggung kosnya kira-kira RM68. Namun apa yang dikesalkan, pendapatan kasar kami sebanyak RM1,200 sebulan bakal terjejas dan kami terpaksa menanggung kerugian besar sekiranya tumpahan minyak merebak ke sini,” katanya.


0 comment:

Post a Comment

Site Search