Wednesday

S&P berpendapat hasil kumpulan sudah cecah paras dasar pada tahun kewangan 2010



STANDARD & Poor’s (S&P) mengekalkan cadangannya agar pelabur terus memegang saham MISC Bhd. Firma penyelidikan itu turut mengekalkan harga sasaran 12 bulan MISC pada RM8.88 yang dikira berdasarkan penilaian aliran tunai selepas diskaun (DCF). S&P berpendapat pendapatan kumpulan itu sudah mencecah paras dasar dalam tahun kewangan 2010.

Untung bersih MISC pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 susut ketara sebanyak 50.1 peratus kepada RM682.046 juta daripada RM1.366 bilion.

Ia diraih daripada pendapatan yang susut 9.2 peratus kepada RM13.775 bilion berbanding RM15.783 bilion.

Keuntungan lebih rendah itu disumbangkan bahagian petroleum dan kerugian lebih besar di bahagian kimia dan logistik bersepadunya.
Bagaimanapun, prestasi lebih baik ditunjukkan oleh bahagian LNG, pesisir pantai dan kejuruteraan berat.

Bahagian LNG mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai 38.3 peratus disebabkan penyusutan perbelanjaan daripada lanjutan kitaran hayat aset dan penjimatan ke atas kos operasi.

Bahagian ini dijangka mencatat prestasi kewangan memberangsangkan pada masa depan susulan kontrak sewa kapal jangka panjang.

Disebabkan tekanan ke atas kadar fret, keuntungan dicatatkan bahagian petroleum susut 88.1 peratus, manakala kerugian bahagian kimia juga turut membesar.

Kerugian bahagian logistik bersepadu meningkat tahun lalu disebabkan terutama oleh kadar fret rendah dan keluarnya syarikat itu daripada menawarkan perkhidmatan dagangan Asia-Eropah.

Bahagian pesisir pantai dan kejuruteraan berat meningkat disebabkan asas pendapatan yang terjamin dan kekukuhan kontrak semasa, menyaksikan untung sebelum cukai berkembang masing-masing sebanyak 17.9 peratus dan 7.3 peratus.

Perkembangan terkini MISC dilihat sebagai berita baik. Ia baru-baru ini memeterai perjanjian dengan Petromin PNG Shipping Ltd dari Papua New Guinea.

MISC dan Petromin PNG bercadang menubuhkan usaha sama (JV) bagi menyediakan penyelesaian perkapalan.

Syarikat JV yang akan ditubuhkan di Kepulauan Bermuda itu direka bentuk bagi memenuhi keperluan projek LNG selain menyokong keperluan perkapalan am lain di Papua New Guinea.

MISC akan menguasai 60 peratus kepentingan dalam syarikat JV yang akan dinamakan Western Pacific Shipping Ltd itu. Modal berbayarnya ialah sebanyak AS$250,000.

MISC kekal memiliki modal besar. Mengikut penganalisis di Netresearch-Asia, dengan selesainya terbitan hak bernilai RM5.2 bilion pada 10 Januari lalu, hutang bersihnya berkurangan kepada 0.2x dalam tahun kewangan 2010 daripada 0.5 kali pada Disember 2009.

Pemulihan berterusan kadar fret, katanya, akan terus merangsang pendapatan pada masa depan.

Firma itu juga mengekalkan cadangan agar pelabur terus memegang saham MISC.

Saham syarikat itu ketika ini didagangkan pada P/E 24x bagi tahun kewangan 2011.

0 comment:

Post a Comment

Site Search