Wednesday

MLNG guna RM40j naik taraf operasi

2010/05/19

MALAYSIA LNG Sdn Bhd (MLNG), anak syarikat Petronas, kini dalam proses menaik taraf dan memodenkan operasi sistem pengawalan agihan (DCS) di Loji Asli Cecair Malaysia di Bintulu, Sarawak, membabitkan pelaburan AS$12.4 juta (RM39.804 juta).

Pelaburan itu merangkumi pelantikan Invensys Operation Management (IOM) sebagai penyedia teknologi dan penyelesaian perisian untuk aktiviti menaik taraf operasi DCS di loji berkenaan.
IOM adalah unit Invensys Plc, iaitu firma berpangkalan di Amerika Syarikat yang menyediakan perkhidmatan kepada 23 daripada 25 syarikat petroleum di seluruh dunia.
Menerusi pelantikan itu, IOM akan menyediakan keseluruhan perkhidmatan menaik taraf dan memodenkan operasi DCS di Loji Asli Cecair Malaysia itu.

Ia akan dilaksanakan unitnya di Malaysia, iaitu Foxboro Malaysia Sdn Bhd dan akan siap pada 2014.

Pengarah Urusan MLNG, Medan Abdullah, berkata aktiviti menaik taraf dan memodenkan operasi DCS bagi menggantikan sistem sedia ada, sejajar usaha meningkatkan produktiviti dan keselamatan operasi di Loji Asli Cecair Malaysia.

Katanya, ia sekali gus membantu MLNG meningkatkan lagi pengeluaran gas asli cecair (LNG) bagi memenuhi permintaan dunia.
“Dagangan LNG dijangka meningkat dalam 10 tahun berikutan banyak negara menggunakan tenaga itu sebagai sumber tenaga mesra alam,” katanya pada majlis pemeteraian perjanjian dengan IOM, di Kuala Lumpur, semalam.

“Justeru, MLNG memerlukan generasi baru DCS untuk membantu kami memperkukuhkan peranan sebagai peserta utama LNG dunia, sekali gus dapat mengurangkan kos operasi serta mengekalkan tahap keselamatan dan integriti operasi kami di loji LNG itu.

Medan mewakili MLNG manakala IOM menerusi unitnya, Foxboro Malaysia diwakili Pengarah Urusannya, Zaid Abdullah. Majlis disaksikan Naib Presiden dan Pengarah Urusan IOM Asean, Jepun dan Taiwan, Terence Chan.

Sumber Utusan malaysia

0 comment:

Post a Comment

Site Search