Wednesday

Perlanggaran MV Waily dan Kapal MISC Bunga Kelana 3

26/05/2010

Petikan dari myMetro

JOHOR BAHRU: Sebuah kapal kargo yang dalam pelayaran dari India ke Hong Kong tersadai di perairan Pengerang, Kota Tinggi di sini, selepas dipercayai bertembung dan berlaga dengan sebuah kapal tangki membawa 61,858 tan minyak mentah.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 pagi itu, Kapal MV Waily yang berdaftar di Kingstown, Saint Vincent And The Grenadines dikatakan berlanggar dengan kapal Bunga Kelana 3 yang berdaftar di Pelabuhan Klang, kira-kira empat batu nautika Barat Daya Tanjung Stapa, perairan Pengerang, Kota Tinggi dan 3.7 batu nautika dari perairan Singapura.


Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Abdul Hadib Abdul Wahab berkata, Pusat Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat berhubung kemalangan dua kapal di perairan Pengerang pada jam 8.30 pagi.


“Hasil maklumat yang diterima, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan mengarahkan sepasukan anggota KM Manjung bersama dua bot laju untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.


“Sebaik tiba, kami dapati seramai 50 anak kapal terdiri daripada warga Malaysia, India, Pakistan, Indonesia, China dan Filipina berada di atas kedua-dua kapal terbabit.


“Bagaimanapun, mereka disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian,” katanya.


Menurut Abdul Hadib, pemantauan di kawasan kejadian mendapati terdapat tompokan minyak dalam lingkungan 50 meter kesan daripada perlanggaran kapal berkenaan.


“Berdasarkan siasatan awal, kami mengesyaki kejadian berkenaan turut mengakibatkan tumpahan lebih 2,000 tan minyak yang dibawa kapal tangki Bunga Kelana 3.


“Malah, pemeriksaan di bahagian sisi kiri Bunga Kelana 3 mendapati berlaku koyakan sepanjang 10 meter sementara MV Waily hanya mengalami kerosakan kecil,” katanya.


Abdul Hadib berkata, pihak Jabatan Laut sudah menghantar kapal Shaula 1 ke lokasi kejadian sejak awal pagi bagi mengawal masalah tumpahan minyak.


“Setakat ini, kami masih belum mengetahui punca sebenar kemalangan dan pasukan penyelamat masih giat menjalankan siasatan di lokasi kejadian.“Hingga petang tadi (semalam), kapal Bunga Kelana 3 sudah ditarik dan bersauh di perairan pelabuhan Changi untuk proses baik pulih,” katanya.

0 comment:

Post a Comment

Site Search